Sunday, February 8, 2009

MELAYU ISLAM DAN VALENTINE DAY

Tinggal tidak berapa hari lagi untuk menyambut 'Valentine Day' atau Hari Memperingati Kekasih. 14hb Februari pasti merupakan hari bersejarah bagi pasangan kekasih atau yang sewaktu dengannya. Sudah pasti jugak hari ni bunga2 ros akan melambung harganya. Tawaran pelbagai pakej makan malam di restoren dan hotel2 terkenal, separuh terkenal atau yang tidak terkenal pun sibuk membuat promosi. Tak kurang jugak stesen televisyen akan menayangkan pelbagai cerita2 yang dikatakan bersesuaian. Tapi dalam banyak2 hal yang paling sedihnya orang melayu dan beragama Islam pun sama sibuknya untuk meraikan 'Valentine Day' ini, tanpa mereka tahu asal usul hari ini diraikan, kenapa ianya diraikan.... Di sini saya ingin berkongsi sedikit cerita tentang 'VALENTINE DAY' dan selepas ni kepada sesiapa yang dah "tersambut" sebelum ni, tak payah lah sibuk2 dok sambut lagi...sian kat kita yerrr....
SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE
Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology and History of First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.
Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine.
Pendapat Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.
Pendapat Kedua,pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi.
Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.
Pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.
Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian.
Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), di bawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love.” Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.
Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut : At least three different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologies under date of 14 February. Bermaksud : Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.
Manakala Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan ‘Corpus St. Valentine Martyris’. Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja.
Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St. Valentine Church di Buffalo, New York.
Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam.
HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE
Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. al-Hajj : 67
Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaituhari raya Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.
Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalamkalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur'an dan lain-lain lagi.Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama orang kafir seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan dari baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang kafir dan bagi mereka yang meniru budaya orang kafir maka ditakuti dia akan tergolong ke dalam golongantersebut.
Sabdanya:Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.
Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas.Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut bolehmenyebabkan pelakunya kafir. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan orang kafir.Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.Tidak dapat dinafikan sambutan Hari Valentine ini sebenarnya membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan.
Firman-Nya:Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). al-Israa' :32
Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam dan hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya orang kafir ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari menguar-uarkan sambutan Hari Valentine ini kepada rakyat di sebuah negara Islam seperti Malaysia ini malah ianya sepatutnya dipergunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.
Justeru itu dapatlah dirumuskan bahawa sikap orang Islam terutamanya generasi muda berbangsa Melayu di Malaysia ini menyambut Hari Valentine adalah semata-mata bertujuan untuk meniru budaya hedonis yang diimport dari barat. Menurut mereka budaya barat yang sedemikian rupa mencerminkan corak hidup terkini dan paling sesuai pada zaman yang serba moden.Mereka yang terkebelakang dalam meniru corak hidup barat ini dianggap jumud serta ketinggalan zaman. Maka kita melihat generasi muda Melayu berebut-rebut untukmengamalkan gaya hidup orang barat seperti mentatu tubuh mereka, mewarnakan rambut mereka berwarna perang, memakai pakaian yang menjolok mata, mengamalkan pergaulan bebas, mengunjungi disko-disko yang dihidangkan minuman keras dan lain-lain lagi.Bagi mereka dengan mengamalkan cara hidup sedemikian rupa mereka telah berjaya meniru satu kaum yang dianggap serba maju. Sedarlah wahai pemuda-pemudi Melayu, walau sehebat mana kamu meniru gaya hidup barat, mereka tetap melihat kamu sebagai orang Asia yang datang dari dunia ke 3 yang rendah martabatnya berbanding dengan mereka.Mereka tidak akan melihat kamu sekalian sebagai setaraf dengan mereka walaupun kamu bersungguh-sunguh ingin mencontohi cara hidup mereka. Oleh itu hendaklah bangsa Melayu berbangga dengan apa yang telah ada pada agama serta adat resam bangsa mereka dan janganlah terlalu dikelabui dengan kehidupan duniawi yang berkiblatkan barat seperti sambutan Hari Valentine ini.
Firman Allah S.W.T.:"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal." Surah al-Ghaafir: 39
(p/s:Saya cuma memetik bahan ini daripada beberapa sumber, sekiranya terdapat yang bercanggah sila maklumkan)

No comments:

Post a Comment