Thursday, March 12, 2009

DISLEKSIA

Berjaya dalam bidang masing2 walaupun mengidap disleksia
Antara bentuk tulisan pengidap disleksia
P & P yang dijalankan untuk kanak-kanak disleksia

APA ITU DISLEKSIA?
Disleksia berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud “kepayahan” untuk perkataan “dys” dan “bahasa” untuk perkataan “lexia”. Maka itu, bolehlah disimpulkan bahawa perkataan disleksia bermaksud kepayahan bahasa atau “kesukaran terhadap perkataan”. Ini adalah kerana individu disleksia umumnya berfikir dalam bentuk gambar dan ini menghasilkan kesukaran memahami huruf, nombor, dan simbol (Osmond, 1993). Akibatnya, kanak-kanak yang membesar dengan disleksia gagal menulis dan membaca dengan baik.
Antara masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak yang mengalami disleksia menghadapi masalah-masalah berikut iaitu:
Ø Mereka melihat huruf-huruf dan perkataan-perkataan seperti bercampur-aduk.
Ø Mereka tidak memahami bahawa setiap perkataan terbentuk dengan huruf-huruf yang yang digabung
Ø Mereka sukar mengeja
Ø Mereka payah memahami konsep di dalam pelajaran matematik
Ø Mereka mempunyai kesukaran di dalam latihan kefahaman
Ø Mereka juga menghadapi masalah apabila menulis
Tahap mereka walau bagaimanapun adalah berbeza-beza iaitu dari tahap yang tidak serius atau minor hinggalah ke tahap yang serius. Walau apapun tahap yang dialami, mereka lazimnya akan menghadapi masalah dalam pembelajaran di sekolah yang menekankan kedua-dua kemahiran ini. Oleh kerana itu, walaupun kanak-kanak disleksia mempunyai kecerdasan dan kepintaran yang mungkin agak sama dengan kanak-kanak normal yang lain, kesukaran yang mereka hadapi biasanya tidak diketahui oleh guru dan ibu bapa mereka sendiri. Keadaan ini menyebabkan mereka kurang keyakinan diri, pergaulan sosial yang lemah, motivasi pembelajaran dan minat belajar yang merosot. Mereka juga mungkin akan berasa sedih dan tertekan dengan keadaan yang mereka sendiri kurang memahami puncanya.Perasaan dan tekanan ini seterusnya mungkin akan menyebabkan mereka melakukan pelbagai tingkah laku devian di rumah dan juga terutama sekali apabila mereka berada di sekolah.
Mengikut kajian, dianggarkan lima peratus daripada populasi pelajar yang mengalami kesukaran ini sekurang-kurangnya pada tahap yang tidak serius (Polock & Waller, 1994). Kadar yang tinggi ini adalah sesuatu yang mengejutkan kita semua. Oleh kerana itu, senarai semak yang dijalankan ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan maklumat kepada pihak yang terlibat khususnya para pendidik dan ibu bapa tentang disleksia supaya langkah-langkah diagnostik dapat dibuat dari awal dan usaha-usaha pemulihan dapat dijalankan dengan efektif. Jika tidak, individu pelajar yang sebenarnya berkemampuan dan istimewa ini akan ketinggalan jauh dalam pembelajaran mereka dan seterusnya menimbulkan banyak masalah afektif kepada diri mereka sendiri dan keluarga mereka dan juga masalah disiplin kepada pihak sekolah.
PUNCA- PUNCA DISLEKSIA
Pada masa ini tiada jawapan yang tepat yang dikaitkan dengan punca disleksia. Berdasarkan kajian – kajian yang dijalankan (British Pyscological Society, 1991; Hammond & Huges, 1996, secara teorinya, disleksia adalah disebabkan oleh:
i) Keturunan : dalam kebanyakkan kes, kanak-kanak disleksia mewarisi sifat ini daripada keluarga mereka walaupun darjah pewarisannya berbeza-beza.
ii)Komplikasi semasa kelahiran: kadang kala kanak-kanak mengalami sejarah kesukaran semasa dilahirkan seperti lahir tidak cukup bulan, kekurangan oksigen atau kelahiran yang amat menyukarkan juga menghadapi masalah disleksia. Faktor- faktor ini yang menjadi punca kelemahan dan kerosakkan pada bahagian otak mereka.
JENIS-JENIS DISLEKSIA
Kanak-kanak yang mengalami disleksia boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu:
i) Disleksia visual (pandangan) : Mereka mengalami kesukaran mengingat dan mengenal abjad dan konfigurasi perkataan. Mereka tidak dapat menterjemah maksud simbol-simbol perkataan yang terdapat pada teks. Kanak-kanak disleksia berkemungkinan akan melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan secara terbalik, contoh kiri – kanan C – Э, atau atas – bawah n – u dan d – p.
ii) Disleksia Auditori (Pendengaran) : Kesukaran utama kanak-kanak disleksia jenis ini melibatkan kesukaran mengingat bunyi abjad, menganalisa bunyi mengikut suku kata dalam perkataan dan menyusun atau menggabungkan suku kata perkataaan untuk membentuk bunyi satu perkataan. Mereka juga tidak dapat membezakan bunyi percakapan yang ditutur secara halus. Selain itu, kanak-kanak disleksia juga menghadapi masalah untuk membezakan bunyi antara vokal dan konsonan dan mengaitkan bunyi kepada perkataan yang dicetak atau ditulis. Oleh itu kanak-kanak disleksia amat sukar untuk mengeja.
iii) Disleksia Visual – Auditori : Kanak-kanak yang mengalami disleksia jenis ini akan menghadapi kesukaran membaca yang amat teruk. Ini kerana mereka menghadapi masalah pada kedua-dua aspek penting dalam berbahasa iaitu pendangan dan pendengaran. Gabungan ini menyebabkan mereka sukar memproses tulisan dan bunyi perkataan secara visual dan audio.
MENGECAM DISLEKSIA
Kanak-kanak disleksia adalah kelihatan seperti kanak-kanak normal yang lain. Mereka tidak mempunyai sebarang kecacatan yang boleh dilihat dan dikenal pasti dengan jelas. Langkah yang paling baik ialah dengan melalui pelbagai jenis ujian diagnostik piawai untuk mengenal pasti tahap kesukaran yang dialami oleh kanak-kanak pengidap disleksia. Pada kebiasaannya penilaian dimulakan dengan satu ujian ‘screening’ awal yang diikuti dengan beberapa ujian diagnostik yang dilakukan pada hari yang berlainan. Setiap satu ujian diagnostik ini mengambil masa lebih kurang satu jam yang akan mengukur tahap dan kemampuan pelajar membaca, mengeja, menulis, bercakap dan mendengar. Berikut adalah beberapa kepayahan atau masalah yang sering dihadapi oleh kanak-kanak yang mengalami disleksia.
i) Membaca
Ø Tidak pasti atau sering keliru dengan abjad-abjad seperti ‘b’ dan ‘d’, ‘p’ dan ‘q’, ‘n’ dan ‘u’.
Ø Membaca perkataan terbalik seperti “saw” menjadi “was”.
ii) Mengeja
Ø Menulis perkataan atau huruf dengan terbalik atau salah urutan. Misalnya huruf ‘b’ ditulis ‘d’ dan bila mengeja perkataan ‘play’ menjadi ‘paly’.
Ø Tertinggal huruf semasa menulis. Misalnya semasa megeja perkataan ‘flower’, dia akan menulis sebagai ‘fower’ dan ‘went’ pula akan ditulis sebagai ‘wen’.
Ø Mereka tidak dapat memahami hubung-kait di antara huruf dan bunyi
iii) Menulis
Ø Tulisan yang cakar ayam, huruf-huruf yang ditulis tidak konsisten dari segi saiz, tiada ruang pemisah di antara satu perkataan dengan perkataan yang lain.
Ø Ayat-ayat yang ditulis bercantum dan tidak dijarakkan mengikut lazim.
Ø Tidak dapat menyalin dengan tepat dari papan tulis dan sering membuat kesilapan bila menulis.
Ø Menulis dengan amat perlahan.
iv) Pertuturan
Sebutan perkataan yang tidak jelas
Ø Tidak dapat mencari perkataan yang sesuai untuk menerangkan apa yang ingin disampaikan.
Ø Menyampaikan sesuatu perkara atau menceritakan sesuatu kejadian dengan tidak mengikut urutan.
Ø Ayat-ayat yang digunakan tidak tersusun dan sering terbalik lantas menyebabkan orang yang mendengar tidak memahami maksud sebenar ayat itu.
Ø Kanak - kanak yang mengalami disleksia sering merasakan yang mereka tidak dapat melakukan atau menghasilkan yang terbaik seperti yang mereka inginkan. Oleh kerana masalah permbelajaran ini, mereka akan menghadapi kesukaran untuk memberikan tumpuan di dalam pelajaran mereka.
Ø Mereka juga sering disalah mengertikan oleh orang-orang di sekeliling mereka. Oleh kerana kesilapan yang sering mereka lakukan dan kegagalan mereka di dalam pelajaran, mereka selalu dianggap sebagai ‘malas’, ‘bebal’, ‘bodoh’, ‘bengap’, ‘cuai’, ‘leka’ dan sebagainya.
Ø Sebenarnya, mereka ini adalah kanak-kanak pintar. Jika diberi peluang dan mendapat bimbingan yang betul, mereka boleh mencapai kejayaan. Mereka boleh melakukan sama seperti kanak-kanak lain dan menghasilkan yang terbaik.
Rumusan
“Disleksia tiada penawarnya, tiada ubat dan tiada akhirnya. Seseorang yang mengalami disleksia akan membesar dan dewasa dengan masalah pembelajaran ini. Bukan ubat atau penawar yang perlu kita cari dan buru untuk membantu kanak-kanak disleksia ini tetapi yang perlu kita cari ialah bagaimana untuk membantu mereka mengatasi masalah ini. Bagaimana untuk membimbing mereka menghuraikan kekusutan semasa berdepan dengan huruf-huruf, perkataan dan ayat. Tiada cara mudah melainkan melalui program khas di dalam pengajaran dan pembelajaran yang kita jalankan.

No comments:

Post a Comment